YB Dato’ Hj Mohd Fasiah Bin Mohd Fakeh, Ahli Parlimen Sabak Bernam menerima cenderahati selepas merasmikan Mesyuarat PIBG SAMMPS Kali ke-21

Barisan Pengawas SAMMPS membacakan ikrar selepas menerima watikah perlantikan

Puan Jamaah Bt Shahbuddin, Pengetua SAMMPS menurunkan tandatangan ketika merasmikan Program Mentor Mentee dan Usrah 2016

Pelajar SAMMPS mengisi ruang masa sebelum perhimpunan bermula dengan bacaan Al-Quran

Sebahagian peserta Merentas Desa SAMMPS kelihatan bersemangat untuk memulakan larian

Thursday, 7 April 2016

KAMIL ZON : SAMMPS KE-3 KESELURUHAN

Sabak Bernam, 6 April – Kontinjen SAM Muhammadiah Pekan Sabak berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam Karnival Amal Islami (KAMIL) peringkat zon utara yang berlangsung di SAM Sungai Haji Dorani (SAMDOR) bermula 4 hingga 5 April lalu.

Senarai penyumbang mata bagi SAMMPS dalam acara-acara yang dipertandingkan adalah seperti berikut :
  1. Forum Lelaki - Tempat ke-3
  2. Musamarah Lelaki - Naib Johan
  3. Tafsir (Men. Atas) - Johan
  4. Debat B. Inggeris - Tempat ke-3
  5. Debat B. Arab - Tempat ke-3
  6. Tilawah Perempuan (Men. Atas) - Johan
  7. Syarahan B. Arab Lelaki (Men. Atas) - Naib Johan
  8. Nasyid Lelaki - Tempat ke-3

Dengan kedudukan senarai pemenang di atas SAMMPS berjaya mengumpul sebanyak 229 mata di belakang SAMT Batu 38 (284) dan MITS (308).

Pasukan debat SAMMPS beraksi semasa acara tersebut berlangsung 

Monday, 4 April 2016

GURU PENYAYANG : JAGA HUBUNGAN DENGAN GURU

Pn Jamaah Shahbuddin menyampaikan ucapan perasmian
 Program Guru Penyayang
Sabak Bernam, 1 April – “Jaga hubungan antara guru dan murid, elakkan perasaan benci sesama kita”. Itulah ungkapan yang ditekankan Pengetua SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) Puan Jamaah binti Shahbuddin semasa ucapan perasmian Program Guru Penyayang yang diadakan di sini Jumaat lalu.

Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling ini merupakan program tahunan yang diadakan di sini bagi mewujudkan kesedaran di kalangan murid dan guru agar jalinan kasih sayang sesama mereka dapat dipupuk.

Jamaah dalam ucapannya juga berkata sikap murid sangat mempengaruhi dalam pembelajaran selain menjadi salah satu faktor kejayaan mereka.

“Para pelajar seharusnya mengamalkan sikap menyayangi setiap yang ada di sekeliling mereka di sekolah ini sama ada rakan, guru atau sesiapa sahaja yang menyumbang kepada kejayaan anda” , katanya.

Tambahnya lagi,”selain daripada usaha apelajar-pelajar, guru-guru juga saya minta agar sentiasa mendoakan anak-anak ini dan sekiranya cikgu-cikgu mempunyai masalah dengan mereka, berjumpalah dengan saya supaya perasaan yang negatif dapat dielakkan”.

Kempen Guru Penyayang yang dijalankan sepanjang tahun ini turut diselitkan dengan penyampaian hadiah kepada semua guru dan murid yang lahir pada Januari hingga Jun sebagai tanda peringatan ulangtahun kelahiran mereka daripada pihak sekolah.

Guru-guru menyampaikan kek kepada pelajar
sempena ulangtahun kelahiran mereka

HARI KELUARGA SAMMPS CAPAI OBJEKTIF

Sebahagian anak-anak yang gembira menyertai
acara pada Hari Keluarga SAMMPS 
Kelab Guru dan Kakitangan (KGK)  SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) pada hujung minggu lalu telah menganjurkan Program Hari Keluarga di D’Sawah Bendang Homestay, Parit 6 Sungai Besar.

Program santai anjuran KGK ini juga berjaya mencapai objektif dengan kehadiran kira-kira 150 peserta dengan aturcara sukaneka yang menyeronokkan terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Dengan sambutan yang begitu positif daripada semua ahli, KGK melalui Pengerusinya berharap agar program-program seperti ini dapat dianjurkan lagi sebagai usaha mengeratkan hubungan sesama ahli selain menjadi platform mengenali keluarga masing-masing.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi itu berakhir pada jam 1.00 tengah hari selepas jamuan tengah hari.

[ GALERI PROGRAM HARI KELUARGA SAMMPS ]

Wednesday, 23 March 2016

PPDa : SAMMPS SIFAR KES DADAH

Sabak Bernam, 23 Mac - Majlis Perasmian Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) 2016 yang dilancarkan di SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) menyasarkan sekolah ini terus mengekalkan rekod sifar kes dadah pada tahun ini sebagai bukti bahawa SAMMPS bebas dari gejala tidak sihat itu.

Perkara ini disebut oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SAMMPS, Ustaz Kahirun Nidzam Tarmiji dalam ucapannya sempena pelancaran Program PPDa peringkat sekolah pagi tadi.

Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan supaya para pelajar tidak cuba-cuba mendekati najis dadah ini kerana terdapat banyak kes yang berlaku di kalangan pelajar yang terjebak dengan gejala ini berpunca daripada sifat ingin tahu dan cuba-cuba.

"Penggunaan dadah secara salah dengan jelas adalah haram di sisi agama dan larangan ini seharusnya difahami dan ditanam dalam diri semua pelajar supaya walau apapun tujuan yang tidak sihat meskipun hanya untuk cuba-cuba, ia tetap haram", katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji semua pelajar kerana sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah bebas dadah apabila tiada rekod menunjukkan ada pelajar yang terlibat dengan masalah dadah melalui pemeriksaan rawak kepada pelajar-pelajar oleh agensi yang terlibat,

Beberapa aktiviti juga bakal dilaksanakan sempena program ini seperti kuiz bulanan, pameran dan ceramah, pertandingan mengarang esei, pertandingan melukis kain rentang dan beberapa acara lain yang akan dijalanankan sepanjang tahun ini.

Tn Hj Khairun Nidzam melepaskan burung sebagai gimik perasmian program

[ GALERI PROGRAM PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH ]

Friday, 11 March 2016

35 PELAJAR YAYASAN SELANGOR SERTAI BENGKEL PEMANTAPAN PT3

Sabak Bernam, 11 Mac – Seramai 35 pelajar tingkatan tiga SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) yang ditaja Yayasan Selangor telah terpilih untuk menghadiri Bengkel Pemantapan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)  pada 11 hingga 13 Mac ini di Asrama Yayasan Selangor, Klang.

Mereka yang menyertai program ini merupakan pelajar-pelajar yang mendapat tajaan biasiswa Yayasan Selangor di bawah Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia -Yayasan Selangor (RKPYS).

Program sulung 2016 anjuran Yayasan Selangor ini merupakan program tahunan yang diadakan mengikut zon dan SAMMPS dipilih untuk menjadi peserta terawal bersama-sama pelajar Yayasan Selangor dari SAM Tanjong Karang, SAM Bestari, SAMT Tengku Ampuan Rahimah, SAM Jeram, SMK Banting, SMK (P) Assunta, SMK (L) Bukit Bintang dan SMK (P) Sri Aman.


Semua peserta dari SAMMPS ceria sebelum bertolak ke
Asrama Yayasan Selangor Klang -Foto Mohd Azhar

JAGA KESELAMATAN DAN KESIHATAN SEMASA CUTI – KETUA WARDEN

Sabak Bernam, 11 Mac – Cuti pertengahan penggal yang akan bermula esok seharusnya diambil kesempatan oleh pelajar untuk melakukan aktiviti berfaedah bersama keluarga. Namun aspek keselamatan dan kesihatan seharusnya diberi perhatian berikutan banyak kes melibatkan kesihatan dan keselamatan berlaku di kalangan pelajar-pelajar sejak akhir-akhir ini.

Sebahagian pelajar-pelajar asrama yang bersiap sedia
 menaiki bas untuk pulang ke kampung. - Foto Mohd Azhar

Pesanan ini disampaikan Ketua Warden Asrama SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS), Encik Mohamad Hairi bin Keliwon kepada semua pelajar asrama yang  pulang bercuti selama seminggu bermula esok.

Encik Mohamad Hairi Keliwon
Ketua Warden Asrama SAMMPS
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan guru sejarah di sini, turut  mengingatkan pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan mereka sepanjang cuti ini kerana ramai pelajar yang terdorong untuk melakukan aktiviti yang mendatangkan risiko kepada mereka semasa cuti seperti menunggang motorsikal secara berbahaya, melakukan aktiviti air seperti mandi sungai dan keluar bersama rakan tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Apabila dilihat kes-kes sebelum ini, terdapat pelajar yang melakukan aktiviti seperti menunggang motorsikal, mandi sungai, dan aktiviti-aktiviti lain yang mengundang risiko keselamatan dan kesihatan kepada mereka tanpa mereka memikirkan soal pembelajaran mereka yang bakal terjejas sekiranya perkara buruk berlaku”, katanya.

“Kes-kes seperti yang disebut pernah berlaku, terutamanya kemalangan jalan raya akibat cuai semasa menunggang motorsikal sehingga terpaksa mengambil cuti sakit berbulan-bulan dan ini menjejaskan pembelajaran mereka apatah lagi yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti SPM dan PT3”, tambahnya lagi.

Pelajar-pelajar menaiki bas untuk pulang 
ke kampung masing-masing. - Foto Mohd Azhar

Beliau turut memaklumkan bahawa pengurusan balik kampung pelajar asrama setakat ini sangat baik dan lancar dengan kerjasama pelajar-pelajar yang membantu mengendalikan urusan tersebut.

“Setakat ini urusan balik kampung pelajar-pelajar asrama tidak menimbulkan sebarang masalah dan pengusaha-pengusaha bas yang diberi tanggungjawab ini juga memberi kerjasama yang baik dan kita sentiasa memantau tahap kualiti perkhidmatan yang diberikan kerana keselamatan pelajar sangat dititikberatkan”, ulasnya.

Thursday, 10 March 2016

PELAJAR STAM SAMMPS DISARAN UNTUK KEKAL

Sabak Bernam, 9 Mac – Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan 3 Mac lalu diakui akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada bilangan pelajar yang berhenti daripada meneruskan pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) seperti tahun-tahun sebelum ini.

Perkara ini dikatakan berlaku berikutan penawaran daripada beberapa institusi pengajian tinggi lain kepada pelajar-pelajar STAM di sini.

Pengetua SAMMPS, Pn Jamaah Shahbuddin menyampaikan amanat semasa sesi
dialog bersama pelajar STAM semalam, Foto - Dzakwan Mohammad Ikhsan
Menyedari akan senario tersebut, pihak pentadbiran SAMMPS bersama guru-guru STAM mengadakan sesi dialog bersama semua pelajar STAM di sini bagi memberi pencerahan hala tuju dan prospek masa depan bagi mereka yang mengambil STAM.

Sesi ini turut membuka ruang kepada para pelajar memberikan input dan persoalan untuk diajukan kepada pihak sekolah bagi membuat penambahbaikan.

Siti Nur Atikah binti Tilal Fitri
Salah seorang pelajar yang mengikuti sesi tersebut, Siti Nur Atikah Binti Mohd Tilal Fitri berkata kebanyakan daripada mereka pada awalnya memang ingin meneruskan pengajian sebagai pelajar STAM tetapi sebahagiannya terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan yang memilih untuk berhenti daripada meneruskan pengajian STAM kerana mengharapkan ada tawaran daripada institusi lain meskipun belum menerima mana-mana tawaran.

Selain itu, katanya, pihak sekolah juga disaran untuk memberi perhatian kepada kebajikan dan kemudahan kepada pelajar-pelajar STAM agar kami berasa selesa dan kondusif untuk meneruskan pembelajaran di sini.

Muhammad Nizam bin
Rizal
Bagi Muhammad Nizam bin Rizal, pula, saranan pihak sekolah untuk pelajar STAM kekal meneruskan pengajian di sini adalah sangat positif kerana kebanyakan daripada mereka sudah mendapat rentak dan teknik pembelajaran serta berpotensi untuk cemerlang sebagai pelajar STAM.

Tambahnya lagi, tempoh masa untuk pelajar menamatkan pengajian juga adalah sangat singkat iaitu setahun berbanding program persediaan lain yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian lain.

Sehingga kini, jumlah pelajar STAM yang masih berdaftar di SAMMPS adalah seramai 78 pelajar.

Wednesday, 9 March 2016

SAMMPS HAYATI GERHANA DENGAN TAZKIRAH, SOLAT SUNAT KUSUF

Sabak Bernam, 9 Mac - Kejadian gerhana matahari yang berlaku pada hari ini diambil kesempatan oleh seluruh warga SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) dengan program khusus bagi menghayati fenomena alam tersebut.

Ustaz Muhammad Akram semasa menyampaikan
khutbah selepas selesai solat sunat kusuf
Seawal jam 7.15 pagi, semua pelajar dan guru berkumpul di dataran bagi menjalankan aktiviti rutin harian iaitu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Tidak seperti biasa, pada hari ini semua pelajar dan guru terus berada di tapak perhimpunan bagi mengikuti tazkirah daripada penceramah jemputan, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Akram bin Abdurrahman dari Sungai Buluh.

Dalam tazkirahnya, semua hadirin diperingatkan akan kebesaran Allah s.w.t dan fenomena gerhana matahari ini adalah sebahagian kecil bukti akan kebesaranNya dan sebagai hamba-Nya, kita dituntut untuk melaksanakan perkara-perkara makruf sebagai tanda mensyukuri nikmat yang diberikan.

Program ini juga turut disertai pelajar dan guru SRAI Muhammadiah.

Gerhana mula kelihatan
Kira-kira jam 8.30 pagi, semua hadirin mula mencerap keadaan gerhana dengan melihat ke arah matahari yang berwarna oren kemerahan menerusi kepingan filem gambar yang diubahsuai. 

Para pelajar mencerap keadaan gerhana menggunakan
filem gambar yang diubahsuai
Kepingan tersebut disediakan oleh Kelab Falak SAMMPS beberapa hari sebelum ini dan diedarkan kepada semua hadirin.

Ternyata, rata-rata hadirin berasa teruja dengan kejadian gerhana tersebut apabila dapat melihat secara langsung fasa peralihan kejadian gerhana.

Kedudukan telur dalam keadaan tegak pada waktu puncak gerhana
Percubaan beberapa orang guru untuk melihat telur berdiri tegak semasa gerhana membuahkan hasil. 

Kedudukan telur dalam keadaan tegak semasa gerhana berlaku
Selepas beberapa kali mencuba meletakkan telur tersebut dalam kedudukan tegak gagal, namun akhirnya teori yang mengatakan kedudukan telur boleh berdiri tegak semasa gerhana kesan daripada tarikan graviti bulan dapat dibuktikan. Pada waktu ini dikatakan keadaan gerhana berada pada waktu puncak.

Semua hadirin juga mengambil kesempatan melihat kedudukan telur berdiri ini secara langsung.

Solat Sunat Kusuf
Sebaik sahaja hadirin mencerap kejadian gerhana, semua bergerak ke surau untuk menunaikan Solat Sunat Kusuf. Solat sunat yang jarang-jarang dilakukan ini dimulakan dengan penerangan ringkas kaifiatnya oleh AlFadhil Ustaz Muhammad Akram bin Abdurrahman.

Para pelajar dan guru menunaikan Solat Sunat Kusuf
secara berjemaah diimamkan Ustaz Muhammad Akram
Kira-kira jam 8.50 pagi, semua hadirin menunaikan solat sunat kusuf diimamkan oleh Ustaz Muhammad Akram disusuli dengan bacaan khutbah yang berkisarkan sifat tiga golongan manusia di atas muka bumi ini iaitu ‘toleh’, ‘soleh’ dan ‘musleh’.


Tuesday, 8 March 2016

SUKAN TAHUNAN SAMMPS MERIAH, SEMUA FIRQAH BERI SAINGAN

Sabak Bernam, 8 Mac – Kejohanan Sukan Tahunan SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) yang berlangsung semalam di Stadium Mini Sabak Bernam dilaporkan berjalan lancar dan meriah dengan penyertaan daripada semua firqah dalam acara-acara yang dipertandingkan.

Kejohanan yang bermula dengan aktiviti perbarisan semua atlet yang bertanding, menyaksikan semua firqah begitu bersemangat mengambil bahagian dalam semua acara dan bersedia memberi saingan.
Para atlet dalam saingan acara 100 meter

Pengarah kejohanan, Encik Ghadzali Ismail berkata, kejohanan pada tahun ini meskipun terpaksa dikecilkan jumlah acara akhir kerana mangambil kira keadaan cuaca panas terik sejak akhir-akhir ini, namun semua atlet dan penyokong memberi kerjasama yang sangat menggalakkan dan hasil daripada kejohanan ini beberapa bakat baru muncul dari kalangan semua yang bertanding.

Katanya lagi, dengan kerjasama guru-guru penasihat dan ahli jawatankuasa penganjur, semua acara yang dirancang dapat dijalankan mengikut tentatif dan tiada atlet yang cedera berat dilaporkan.

Antara acara akhir yang dipertandingkan semalam adalah 100 meter, 400 meter, 800 meter, 4 X 100 meter, lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru dan rejam lembing.

Kejohanan pada kali ini juga menyaksikan Firqah Persona muncul sebagai Johan keseluruhan dengan jumlah mata sebanyak 325 diikuti Wira, 305 mata dan Perdana, 293 mata.

Waja dan Perdana pula masing-masing berada di tempat ke-4 dan ke-5.

[ GALERI KEJOHANAN SUKAN ]

“TAHNIAH CIKGU AZHANI” – WARGA SAMMPS

Cikgu Azhani bersama cahaya matanya
Mohd Izhan Harits
Sabak Bernam, 7 Mac – "Tahniah Cikgu Azhani atas kelahiran cahaya mata yang ke-6 Sabtu lalu."Itulah antara ucapan daripada rakan-rakan Encik Azhani Marlan dari SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) apabila mendapat berita gembira tersebut dalam aplikasi whatsapp menerusi kumpulan 'PENTADBIRAN SAMMPS'.

Ketika dihubungi, beliau berkata kelahiran anak ke-6 bagi keluarganya disifatkan sebagai rezeki tidak ternilai dan menambah seri keluarganya. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua warga SAMMPS yang mendoakan kesejahteraan isteri dan anaknya yang dilaporkan selamat melahirkan cahaya mata mereka di Hospital Teluk Intan pada Sabtu lalu.

Melalui kumpulan perbincangan “PENTADBIRAN SAMMPS” dalam aplikasi Whatsapp, rata rata menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau atas kelahiran tersebut.








Saturday, 5 March 2016

CIKGU RAZIF BERANSUR PULIH, MAHU SEGERA LATIH PASUKAN BOLASEPAK

Sabak Bernam, 3 Mac – Keadaan seorang guru SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) yang terlibat dengan kemalangan jalan raya baru-baru, Encik Mohd Razif bin Abd Malek, dilaporkan semakin beransur pulih dan berharap dapat segera kembali melatih pasukan bola sepak SAMMPS.

Cikgu Razif (dua dari kanan) bersama rakan sekerja dari SAMMPS
ketika menziarahi beliau di Sabak Bernam.
Beliau yang terlibat dalam kemalangan di Kuala Selangor pada 28 Februari lalu dikatakan menghadapi kecederaan ringan pada bahagian pergelangan kaki dan dada apabila motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux ketika pulang dari menziarahi ibunya.

Kenderaan tersebut dikatakan menghalang laluan utama untuk cuba melintas semasa kesesakan berlaku di laluan tersebut menyebabkan motorsikal yang ditungganginya hilang kawalan dan melanggar bahagian tepi kenderaan tersebut.

Hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas beliau di Hospital Tengku Ampuan Jamaah Sabak Bernam, pegawai perubatan mengesahkan beliau hanya cedera ringan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Dalam pada itu, Razif yang juga merupakan guru sains di SAMMPS berharap beliau dapat segera kembali ke sekolah untuk menjalankan tanggung jawab seperti biasa dan dapat segera melatih pasukan bola sepak SAMMPS yang bakal beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak MSSD Sabak  Bernam April ini.

Untuk rekod, SAMMPS merupakan johan dalam Kejohanan Bola Sepak MSSD Sabak Bernam 2015 selepas berjaya menumpaskan SAMT Sultan Salehudin Abd Aziz Shah dengan jaringan 2-0.

Thursday, 3 March 2016

SPM 2015 : SAMMPS CATAT 100% LULUS, 16 CALON PEROLEH 6A KE ATAS

Sabak Bernam, 3 Mac - Keputusan peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SAM Muhammadiah yang diumumkan hari ini mencatatkan peratus kelulusan 100%  keseluruhan dan semua calon layak menerima sijil. Keputusan diumumkan Puan Jamaah Binti Shahbuddin, Pengetua SAMMPS jam 11.00 pagi tadi di hadapan ibu bapa dan pelajar yang hadir untuk mengambil slip keputusan SPM masing-masing.

Pn Jamaah (Pengetua) mengumumkan keputusan SPM 2015
Walau bagaimanapun SAMMPS mencatatkan sedikit penurunan dalam nilai Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu 4.25 berbanding 4.00 dalam SPM 2014.

Sebanyak 7 mata pelajaran mendapat 100% lulus iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Sains, Perdagangan, Prinsip Akaun, Tasawur Islam dan Geografi. Bagi subjek lain, Bahasa Inggeris (98.2%), Bahasa Arab (97.3%), Matematik (95.5%), Pendidikan Al-Quran & As-Sunnah (97.3%), Pendidikan Syariah Islamiah (99.1%), Matematik Tambahan (89/1%) dan Ekonomi Asas (95.5%).

Bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula, 5 mata pelajaran mencatatkan peningkatan iaitu ; Bahasa Arab, 6.38 kepada 6.03 (0.35), Matematik, 4.85 kepada 4.10  (0.75), Pendidikan Syariah Islamiah, 3.96 kepada 3.32 (0.64) dan Matematik Tambahan, 6.80 kepada 6.59 (0.21). Mata pelajaran Perdagangan pula mencatatkan peningkatan tertinggi dengan nilai sebanyak 1.46 iaitu 4.39 berbanding 5.85 semasa SPM 2014.

Calon-calon yang memperoleh keputusan 6A ke atas bergambar
bersama selepas keputusan diumumkan
Dalam pada itu, seramai 16 calon berjaya memperoleh keputusan 6A ke atas dengan pencapaian tertinggi 9A. Berikut merupakan pelajar-pelajar yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 6A dalam SPM 2015 :

9A
1. MUHAMMAD HASSAN B HAMDAN

8A
1. NURUL ATIQAH BT. SHAFIE
2. SITI AISYAH BT AHMAD PUAD
3. UMAIRA BT SOFIAN

7A
1. MUHAMMAD SYAWAL FARHAN B SHAHARUDIN
2. SITI NURSHAFIQAH BT. M. AMIN
3. NAFISAH BT. RUSLI

6A
1.  FARHANA BT MOKHTAR
2.  NOR NATASHA BT AZRI
3.  NURHAFIZIN BT ISMAIL
4.  NURUL NAJIHAH BT JAFRI
5.  NURUL SAKILA BT SALMAN
6.  SITI NUR FATIHAH BT MOHAMMAD RADZI
7.  SYAZANA BT JUMBLI
8. SITI AISYAH SAKINAH BT AHAMED MUSTAFA
9. ARSYAD KHAN BIN RAZEN KHAN




LARIAN 2.4 KM KADET POLIS : 3 PESERTA SAMMPS DAPAT TEMPAT

Sungai Besar - Tiga peserta dari Sam Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS)  berjaya menamatkan larian dan berada dalam kumpulan 10 peserta terpantas dalam larian 2.4 km anjuran Kor Kadet Polis Daerah Sabak Bernam yang berlangsung pada 24 Februari lalu di IPD Sabak Bernam

Aiman, Nazirul dan Helmi bersama pingat masing-masing
Tiga peserta tersebut adalah Muhammad Helmi bin Mohd Zamri yang mendapat tempat ke-10, Nazirul Aiman bin Azman ke-5 dan Ahmad Azizul bin Azman yang mendapat tempat pertama keseluruhan.

Dengan kejayaan mereka ini, ketiga-tiganya telah disenarai pendek untuk mewakili Kor Kadet Polis Daerah Sabak Bernam untuk ke peringkat negeri April ini.






Monday, 22 February 2016

KERJASAMA IBU BAPA, GURU DAN PELAJAR PENENTU KEJAYAAN

Sabak Bernam, 20 Feb. - Majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) yang berlangsung di Dewan Besar SAMMPS berlangsung dengan jayanya.

Dari kiri : Tn Hj Idris,Tn Hj Khalilullah (YDP PIBG), Yb Mohd Fasiah,
Pn Jamaah (Pengetua SAMMPS) dan  Pn Aisyah
Majlis disempurnakan oleh YB Dato' Hj Mohd Fasiah Bin Mohd Fakeh, Ahli Parlimen Sabak Bernam dengan kehadiran kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada ibu bapa pelajar dan guru-guru di sini.

Dalam ucapan perasmian, Fasiah menegaskan bahawa 3 faktor penentu kepada kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada kerjasama erat ibu bapa, guru dan para pelajar.

YB Dato' Hj Mohd Fasiah
Beliau yang juga merupakan bekas guru mengingatkan agar guru dan ibu bapa dapat meletakkan matlamat yang sama dan bekerjasama ke arah itu dalam membangunkan sekolah demi masa depan anak-anak.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh perkembangan semasa cabaran pendidikan masa kini dengan wujudnya media sosial yang mempengaruhi setiap individu dalam membuat tindakan.

"Media sosial pada masa kini sememangnya dapat menyebar luaskan maklumat namun sekiranya kemudahan ini disalah guna, ia bukan hanya boleh meruntuhkan sesebuah institusi malah sesebuah negara seperti mana yang berlaku di beberapa negara di dunia pada hari ini", katanya,

Beliau turut menyeru agar semua pihak memberi perhatian serius kepada perkembangan pendidikan negara supaya setiap dasar untuk membangunkan negara dapat direalisasikan.


Friday, 19 February 2016

BILIK ICT SAMMPS BERWAJAH BARU

Sabak Bernam, 17 Feb. - "Moden, Selesa, Mesra Pengguna". Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap transformasi yang dilakukan Jawatankuasa Unit ICT SAM Muhammadiah Pekan Sabak (SAMMPS) dengan kerjasama warganya dalam menaik taraf Bilik ICT SAMMPS.
Dekorasi Bilik ICT SAMMPS

Bilik ICT yang boleh menampung kira-kira 35 pelajar bagi satu-satu masa kini berwajah baru di samping kemudahan ICT yang telah dibaik pulih. Ketika ini, bilik yang mempunyai 30 komputer meja dan 40 netbook masih dalam proses penambahbaikan bagi memberikan keselesaan kepada guru dan murid untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sususan komputer yang lebih mesra PdP
Menurut Setiausaha Jawatankuasa ICT SAMMPS merangkap Guru ICT SAMMPS, Encik Mohd Azhar Abd Rahman, transformasi yang diusahakan bertujuan menggalakkan warga SAMMPS menggunakan ICT dalam PdP selaras dengan perkembangan semasa dunia pendidikan kini yang memberi penekanan serius penggunaan ICT dalam PdP.

Katanya lagi, usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan akan diteruskan bagi memenuhi keperluan semasa pelajar dan guru di sini.

Bilik ICT yang menerapkan konsep moden dan interaktif ini juga dikatakan bakal mewujudkan Jawatankuasa di peringkat pelajar dengan nama 'Briged Cyber' dalam masa terdekat.